Wednesday, 23 November 2016

Ilmu Pelita Kehidupan




Ilmu , 
Engkau bagaikan darah yang mengalir ditubuhku ,
Bagaikan udara yang menemani hidupku ,
Melekat di hujung sanubariku ,
Takkan pupus dek waktu ,

Kerana tanpamu kosong diri ini ,
Lebih kosong daripada tin yang disepak sana sini ,
Tanpamu diri ini pasti direndahi ,
Mahukah kita jadi seperti ini ?

Kau bukan hanya sebuah nama ,
Lebih terang daripada pelita ,
Melekat di dalam dada ,
Setiap orang yang bijaksana ,

Kau harta yang abadi ,
Mencarimu satu pekerjaan terpuji ,
Biarpun nyawa di hujung tali ,
Kau pasti aku cari sehingga mati .



Warisan ditelan Zaman



Dahulu kala , 
Kelihatan sang teruna berbaju melayu ,
Bersamping megah berjalan segak bergaya ,
Kelihatan sang dara berbaju kurung ,
Bersimpuh ayu di pangkin kayu ,
Lambang warisan zaman berzaman ,

Kini , 
Tiada lagi semua itu ,
Muda mudi hanyut ditelan arus permodenan yang laju ,
Melemparkan warisan nenek moyang kebanggaan dahulu ,
Sibuk mengikut peredaran zaman sehingga hilang budaya dahulu ,

Tiada lagi sang dara yang tersenyum malu ,
Sentiasa tertunduk malu pabila bertemu ,
Yang ada , si perempuan yang tak tahu malu ,
Meninggalkan warisan orang terdahulu ,

Sang teruna tiada lagi yang berbaju melayu ,
Apatah lagi bersampin segak dihiasi senyuman manis bak tebu ,
Yang ada , si lelaki yang sibuk mengikut trend terbaru ,
Rokok terselit dimulut tanpa jemu dan malu .


















Warna-Warni Malaysia


Bersatu teguh , bercerai kita roboh ,
Kata-kata itu acap kali kita dengar ,
Namun , adakah kita benar mengaplikasikannya ?
Mari kita lihat tentang perpaduan di Malaysia ,

Kaya dengan pelbagai kaum di dalamnya ,
Melayu , Cina , India dan sebagainya ,
Malaysia bumiku Malaysia ,
Tanah tumpah darah tercinta ,

Perbagai warna budaya di dalamnya ,
Damai , harmoni , permai sentiasa ,
Kita bangsa Malaysia yang merdeka ,
Bakal menerajui dunia ,

Biarpun berlainan adat dan budaya ,
Bercanggah pendapat dan idea ,
Kita tetap satu ,
Satu hati , satu jiwa dan satu rasa ,

Sayangilah Malaysia ,
Bumi yang kita cinta ,
Bumi yang kita bangga ,
Yang kita sanjung selamanya .



Dunia Kini


Dunia kini dipenuhi dengan teknologi ,
Masalah timbul , hanya perlu hubungi ,
Maklumat tiada , hanya perlu mencari ,
Penat lelah tiada lagi , semuanya dihujung jari ,

Sains dan Teknologi membawa perubahan ,
Mengangkat martabat bangsa dari lembah kejahilan ,
Tidak dinafikan akan kemajuan ,
Namun tidak dinafikan juga kemusnahan ,

Telefon sentiasa di tangan kini ,
Tidak perlu bersua muka lagi ,
Ada masalah ?
Hanya perlu hubungi ,

Tanpa kita sedari ,
Semakin hari semakin kurang komunikasi ,
Semakin hari semakin jarak hubungan ini ,
Semuanya hanya melalui telefon kecil ini ,

Kembalikan lah zaman bertegur sapa ,
Menanyakan khabar orang di depan mata ,
Agar kita tidak menyombong sentiasa ,
Disayangi orang setiap masa .

Puisi buatmu Ibu



Engkau membawaku  9 bulan lamanya ,
Sampai saat melahirkan cukuplah payah ,
Kau menjagaku sehingga sekarang lamanya ,
Tidak sekalipun engkau merungut ditelingaku ,

Engkau curahkan sepenuh kasih dan cinta ,
Sehingga aku meningkat dewasa ,
Hidupku aman dan bahagia tidak terkira ,
Dibesarkan dengan cinta sang bidadari syurga ,

Ibu, engkaulah matahariku ,
Terang dalam gelapku ,
Kau tuntun aku dijalan yang berliku ,
Yang penuh dengan batu ,

Ucapanmu menjadi kamus hidupku ,
Aku berteduh di bawah naungan doamu ,
Aku mohon keampunan darimu ibu ,
Kerana redha Allah terletak pada redhamu ,

Aku bangga memilikimu ibu ,
Kerana engkau pelita hidupku ,
Engkau kunci kejayaanku ,
Engkau bidadari syurgaku ,

Ibu , maafkan anakmu ,
Sekiranya kata-kataku ibarat sembilu ,
Yang menyucuk jantung hatimu ,
Mafkan aku ibu .






Wanita itu Permata


Wahai wanita ,
Islam mengangkat martabatmu ,
Disuruh memuliakan wanita ,
Tinggi darjatmu wahai bidadari syurga ,

Wahai muslimah laksana bunga yang menawan ,
Wahai muslimah yang solehah ,
Bagaikan sebuah perhiasan yang tinggi nilainya ,
Begitu indah , berkilau dan mendamaikan ,

Teramat banyak yang ingin memilikinya ,
Namun , tidak semua mampu mendekatinya ,
Yang dapat menghirup sarinya ,
Yang dapat memetik meraih pesonanya ,

Wanita muslimah itu ibarat permata yang berharga ,
Islam juga menyuruh memperlakukan mereka sebegitu rupa ,
Mereka tidak boleh disentuh oleh selain pemiliknya ,
Itulah yang membuatkan ia menjadi berharga .


Menabung amalan mulia




Wang yang tersisa di sakuku ,
Ku masukkan ke sebuah tabung ,
Tabung yang dibelikan oleh ibu ,
Berbentuk rumah yang sangat indah ,

Ku masukkan wang di sakuku ,
Ke dalam lubang di atap rumah tabungku ,
Setiap hari aku menabung ,
Mengikut pesan ibu ayahku ,

Pesan mereka padaku ,
Sediakan payung sebelum hujan ,
Menebunglah untuk masa depan ,
Agar sentiasa cerah wahai anakku .

Kerakusan Manusia



Kicauan burung terdengar merdu ,
Menandakan adanya hari baru ,
Keindahannya membuatkan aku terpaku ,
Memberi semangat untuk meneruskan hari itu ,

Namun kini ,
Manusia mementingkan diri ,
Rakus menggunakan hasil bumi ,
Sehingga terlebih ekspoitasi ,

Janganlah pentingkan diri ,
Sehingga habis bukit ditarahi ,
Haiwan-haiwan terus diburui ,
Sehingga hampir semuanya tiada lagi ,

Sedarlah wahai penduduk bumi ,
Janganlah kamu berdiam diri lagi ,
Jalankan tanggungjawabmu menjaga alam ini ,
Supaya ia kekal dari generasi ke generasi .


Sahabat Sampai Syurga



Tiada mutiara seindah cinta ,
Tiada sutera sehalus kasih sayang ,
Tiada embun sesuci ketulusan hati ,
Sahabat , engkau anugerah terindah daripada Ilahi ,

Tiap kali aku jatuh duduk termanggu ,
Engkaulah yang pertama datang membantu ,
Menghulurkan tangan tiada jemu ,
Tanpa mengharapkan balasan dariku ,

Bila bersatu hati kita bagai besi ,
Jadi kuat , gagah dan berani ,
Pelbagai perkara kita sama lalui ,
Yang penuh dengan onak dan duri ,

Kini aku sedari  
Walau terpisah dek perbezaan negeri ,
Hubungan ini tetap tidak terhenti ,
Engkaulah sahabat sejati ,

Walau jarang bersua muka ,
Ketahuilah namamu sentiasa dalam doaku ,
Semoga satu hari nanti dapat berjumpa ,
Melunas rindu di dada .

Wednesday, 2 November 2016

Terima Kasih Pejuang Kemerdekaan




















Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !
Masih terngiang di telingaku akan laungan itu ,
Saban tahun tanggal 31 Ogos kita raikan merdeka ,
Namun tahukah kita maksud perkataan keramat itu ?

Kemerdekaan bermaksud mencapai kebebasan ,

Bebas daripada penjajah durjana yang dulunya bermaharajalela ,
Membunuh insan tanpa rasa berdosa dan membuat noda ,
Tanpa ada belas ehsan di dada ,

Pejuang kemerdekaan gagah menuntut bela ,

Pengorbanan yang tidak patut diabaikan oleh kita ,
Terima kasih pejuang kemerdekaan ,
Kerana jasamu kita merdeka ,

Berjuang tanpa penat dan lelah ,

Tidak mengenal erti putus asa dan menyerah kalah ,
Biarpun terpaksa bermandi darah 
Untuk bumi Malaysia mencapai Merdeka .